Jumaat, 25 Januari 2013

Puas.......

Masa masih belajar, sering kali aku terfikir, "indahnya kalau dapat gaji ribu-ribu". Tapi sesudah berkerjaya dan berjaya mendapatkan ribu-ribu setiap bulan, terfikir pulak, "bagusnya kalau dapat juta-juta". Agaknya nanti kalau dah berjaya kecapi juta-juta, mesti akan fikir, "sedap sungguh kalau boleh dapat bilion-bilion".

Hakikatnya, nafsu manusia takkan pernah puas, cuma bagaimana hala tujunya akan dapat dipengaruhi dengan panduan hati yang terdidik. Sering dapat kita lihat, ada insan yang kehidupan penuh gusar di mana dan bagaimana mahu menambah sumber kewangan. Masa bersama keluarga, masa untuk bermasyarakat, malah masa untuk diri sendiri diabaikan semata-mata kerana ingin berusaha mencicip atau menambah pendapatan. Perkara asasi insani ditinggalkan, maka laparlah jiwa kebuluran.

"Tak salah inginkan kemewahan dan kebendaan duniawi tapi janganlah di abaikan bekalan yang akan kita bawa ketika menghadap Ilahi." Pesan seorang ketua dalam kumpulan bulatan ku dulu. Kata-kata yang mudah, namun untuk dimanifestasikan dalam kehidupan, nyata tak semudah meluahkannya. Dengan kehidupan kita yang di uji dengan pelbagai cara, walau pedoman penuh di dada, adakala tergenlincir juga. Iman itu berbolak-balik sifatnya, tetapkan ia pada tali Ilahi yang dihujungnya ada kegembiraan abadi. Berusaha itu perlu, namun hasilnya akan datang dari Dia, maka mohonlah bantuan-Nya.

........................................................................................

"Jangan pernah impikan hidup tanpa ujian,tapi mohonlah hati yang tabah agar mampu menempuh apa pun jua ujian yang datang." 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan