Khamis, 28 November 2013

Doa dan harapan...

Sekadar perkongsian pengalaman sendiri. Semoga ada manfaat bersama yang dapat dicerna.

Perjalanan hidup tak semudah anganan. Jutaan duri dan rintangan di sepanjang perjalanan. Ada saat dan ketika, dugaan yang hadir menyesak jiwa. Rasa putus asa bermain di jiwa, cemburu dan dengki melihat insan lain bahagia dan mendapat apa yang kita ingini. Lupa pada kebesaran yang Esa. Rasa terhenti dunia saat diduga. Terasa umpama segala yang diusahakan sia-sia. Lemahnya jiwa menghadapi ujian yang tak seberapa.

Nasihat dari ibunda tercinta tatkala anaknya hampir putus asa dalam berusaha, "Teruskan berdoa, memohon bantuan dari DIA. Kita tak tahu apa yang Allah takdirkan untuk kita, tapi yakinkan hati setiap yang berlaku itu terbaik pada situasi dan keadaan kita."  Kelihatan telalu "ideal", tapi saat Allah kabulkan doa yang diutus saban waktu, hadir rasa lemahnya diri tanpa DIA. Sedang kita telah diberitahu bahawa, pintalah pada DIA, nescaya akan diperkenankan. “Dan Tuhanmu berfirman : “Berdoalah kepadaKu, nescaya akan ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Ghafir : ayat 60)

Malah, Allah juga telah mengajar kita kaedah dalam memohon pertolongan dan bantuan-NYA sepertimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud, "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."

Kita lupa bahawa DIA sentiasa bersama kita walau dalam kalam suci, kita diperingatkan bahawa, "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku (Allah), maka jawablah bahawasanya Aku adalah dekat, Aku kabulkan permohonan mereka yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendklah mereka memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu dalam kebenaran.” (al-Baqarah : ayat 186). 

Ya, kita insan yang sering lupa pada DIA walau tak pernah dilupakan. Kita lebih percaya pada bantuan selain DIA, sedang setiap sesuatu yang terjadi adalah dengan izin-NYA. Dalam berdoa, teruskan usaha. Jangan persoalkan bagaimana dan bila sepatutnya Allah kabulkan doa kita. Yakinlah DIA lebih tahu apa yang terbaik buat kita berbanding kita sendiri. 

Sedarilah, seandainya kita berjaya dalam segala yang kita usahakan, adakalanya bukan kerana doa kita yang diterima, sebaliknya mungkin doa dari kedua ibu bapa kita, atau juga doa adik-beradik yang sentiasa menginginkan kebaikan buat kita itu yang diterima. Atau mungkin juga kerana doa isteri yang mengharapkan kejayaan suami tercinta. Malah tak mustahil juga doa rakan-rakan seperjuangan yang tak pernah melupakan kita dalam doa mereka. Maka berhemahlah dalam perhubungan sesama manusia. Kita mengharap doa mereka, dan kita juga doakanlah kebahagian dan kebaikan buat mereka. 

Kita tak sempurna, dan tak mungkin untuk mampu jadi sempurna, namun itu bukan alasan untuk tidak berusaha menjadi lebih baik dari hari ke sehari.

Sumber gambar: http://detikperubahan.files.wordpress.com/2011/12/muslim-prayer2.jpg


Khamis, 12 September 2013

REFLEKSI KENDIRI

Tatkala bersendiri...
Di asak kanan dan kiri...
Hampir hilang pedoman diri...
Jalan dilalui terasa kian sepi...
Perjalanan mencari diri...
Terasa sukar andai bersendiri...
Memerlukan mereka yang mengerti...
Dan doa agar dikuatkan hati...

Carilah teman...
Carilah rakan...
Sedarkan diri bahawa hidup ini bertuhan...
Setiap kita punya satu tujuan...
Bersedia menghadapi hari yang dijanjikan...
Fikirkan hikmah pada setiap kejadian...
kerana pada tindakan ada pertanggungjawaban...
Cara hidup itu pilihan...
Natijah disana adalah balasan...
Apakah beroleh kebaikan?
Atau apakah menunggu siksaan?

Kerana mati itu pasti...
Tua tak tentu lagi...

Khamis, 29 Ogos 2013

Nikmat kehidupan...

Berapa kerap kita merasa cemburu pada sesuatu yang dimiliki orang lain? Sering sahaja terdetik dalam hati, "kalau lah aku pun turut sama memiliki apa yag mereka miliki". malah lebih malang andai kita mengharapkan agar nikmat yang dikecapi oleh insan lain tadi ditarik semula lantas dapat kita miliki. Sering kali kita terlupa setidaknya kita masih punyai satu nikmat berharga iaitu nyawa. Lihatlah mereka yang terlantar walau masih bernyawa, lihat pada mereka yang sentiasa teramcam nyawa dek perperangan yang entah bila-bila masa mampu meragut nyawa.

Pernah seorang tua memberi pesannya yang lebih kurang berbunyi begini, "bila kita lihat mereka yang lebih ujian dari kita, kita akan merasa betapa kerdilnya dan kufurnya kita pada nikmat yang Allah beri pada kita". Ya, bukanlah bermaksud kitaperlu hanya berserah dan menerima tanpa melakukan sebarang usaha merubah nasib kita sebaliknya sekadar mengelakkan kita berburuk sangka dengan Allah Yang Maha Mengetahui. Yakinlah, setiap aturan ada perkadaran dan pengajaran yang tersendiri andai kita mencari.Aku amat bernasib baik kerana setiap kali aku terasa lemah, akan hadir insan-insan yang sangat positif memberi semangat.

Tatkala ini, aku amat rasa kehilangan seorang insan yang banyak memberi inspirasi walau kata-kata sering kali tak ku ambil peduli ketika hayatnya. Sering kali juga aku memberontak lantaran merasakan kata-katanya tidak bersesuaian atau menepati citarasa ku. Namun, setelah dia "pergi", setiap bait nasihatnya seolah bermain dalam memori, menjadi pedoman untuk aku menempuhi hari-hari mendatang yang penuh ujian. Terngiang-ngiang setiap teguran dan nasihat seolah dia masih ada menunjuk ajar sambil memujuk anaknya ini agar terus tabah menghadapi hari-hari mendatang. Semoga setiap doa yang kuhulurkan, mampu menjadi kebaikan buatnya, sedang anaknya ini menanti detik dan ketika menyusul ke "sana"....
 

Jumaat, 25 Januari 2013

Puas.......

Masa masih belajar, sering kali aku terfikir, "indahnya kalau dapat gaji ribu-ribu". Tapi sesudah berkerjaya dan berjaya mendapatkan ribu-ribu setiap bulan, terfikir pulak, "bagusnya kalau dapat juta-juta". Agaknya nanti kalau dah berjaya kecapi juta-juta, mesti akan fikir, "sedap sungguh kalau boleh dapat bilion-bilion".

Hakikatnya, nafsu manusia takkan pernah puas, cuma bagaimana hala tujunya akan dapat dipengaruhi dengan panduan hati yang terdidik. Sering dapat kita lihat, ada insan yang kehidupan penuh gusar di mana dan bagaimana mahu menambah sumber kewangan. Masa bersama keluarga, masa untuk bermasyarakat, malah masa untuk diri sendiri diabaikan semata-mata kerana ingin berusaha mencicip atau menambah pendapatan. Perkara asasi insani ditinggalkan, maka laparlah jiwa kebuluran.

"Tak salah inginkan kemewahan dan kebendaan duniawi tapi janganlah di abaikan bekalan yang akan kita bawa ketika menghadap Ilahi." Pesan seorang ketua dalam kumpulan bulatan ku dulu. Kata-kata yang mudah, namun untuk dimanifestasikan dalam kehidupan, nyata tak semudah meluahkannya. Dengan kehidupan kita yang di uji dengan pelbagai cara, walau pedoman penuh di dada, adakala tergenlincir juga. Iman itu berbolak-balik sifatnya, tetapkan ia pada tali Ilahi yang dihujungnya ada kegembiraan abadi. Berusaha itu perlu, namun hasilnya akan datang dari Dia, maka mohonlah bantuan-Nya.

........................................................................................

"Jangan pernah impikan hidup tanpa ujian,tapi mohonlah hati yang tabah agar mampu menempuh apa pun jua ujian yang datang."